
NILAI- Naib Canselor menegaskan sambutan Maulidur Rasul peringkat USIM bertujuan mengingatkan warga USIM terhadap tanggung jawab sosial kepada masyarakat sekeliling.
Sambutan yang disertai lebih kurang 500 warga USIM bermula dengan perarakan sambil berselawat keatas junjungan Nabi s.a.w. dari perkarangan Canselori sehingga ke Stadium Tertutup Nilai.
Dalam ucapan perasmian, Naib Canselor menyatakan sambutan ini dilihat satu langkah bagi meningkatkan mutu perkhidmatan kakitangan pentadbiran dan pembelajaran mahasiswa dalam memartabatkan nama USIM.
“Usaha ini dilihat sebagai satu langkah menghayati strategi perjuangan Rasulullah s.a.w.,” ujarnya semasa berucap merasmikan majlis sambutan itu di sini kelmarin.
Menurut Nor Hamizah Rosdan, 23, antara peserta perarakan tersebut, tema ‘Menjana Ummah Gemilang’ pada tahun ini bertepatan dengan suasana umat Islam kini yang berusaha menambah ilmu pengetahuan yang merangkumi ilmu dunia dan akhirat.
Manakala menurut Abdullah Firdaus Abd Jalil, 21, perarakan tersebut bukan sekadar berpenat kosong sahaja, tetapi ia bertujuan untuk menyingkap dan mengetengahkan ajaran Rasulullah sebagai sumber dan jalan penyelesaian dalam cabaran kehidupan moden semasa khasnya di era globalisasi.
“Bagi saya program seperti ini sebenarnya dapat meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap warisan nabawi,” tambah rakan beliau, Muhammad Ridhuan Jaafar, 21.
Majlis tersebut disertakan ceramah berkaitan Maulidur Rasul dan dihiburkan dengan selawat Nabi s.a.w. oleh kumpulan Nasyid Instinct.